Ahad, 17 Januari 2010

Team E Juara Baru Bola Tampar Antara Blok 2010

Keterangan gambar: Wakil juara baru pertandingan bola tampar dari Blok E menerima trofi pusingan dari Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Subang Impian, Sdr Wan Lokman Yusof.
Keterangan gambar: Juara baru! Keceriaan diwajah Team Blok E bergambar kenangan bersama Piala Pusingan JMB selepas menewaskan Team Blok A dengan rubber set 16-14
Keterangan gambar: Ada gaya! Team Blok E menghadapi serangan dari pesaingnya Team Blok B 1

Team Blok A gagal pertahan kejuaraan
Perlawanan bola tampar antara blok Taman Subang Impian 2010, meriah

Teks, foto: ZAINIZAA, Biro Pendidikan & Ekonomi

CABARAN pasukan bola tampar dari Blok A yang cuba mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu, berakhir dengan kecewa apabila kemenangan memihak kepada naib juara tahun lalu, iaitu pasukan dari Blok E.

Kemenangan pasukan Blok E bagaikan membalas dendam di atas kekalahan mereka pada tahun lalu. Bagaimanapun kejayaan yang diraih oleh pasukan Blok E tidak semudah itu kerana mereka terpaksa akur apabila pasukan Blok A mengheret perlawanan ke rubber set.

Namun dalam pertarungan rubber set, pasukan Blok E berjaya melebar mata keputusan 16-14 sekaligus menghampakan penyokong pasukan Blok A. Laluan ke final memaksa team blok E berdepan dengan pencabar hebat seperti team Blok B, team Blok D2, team Blok C dan akhir sekali team Blok A.

Perlawanan Bola Tampar Antara Blok Taman Subang Impian, memasuki tahun kedua. Istimewanya, pada tahun ini hadiah berupa trofi atau piala pusingan disumbangkan oleh Pengurusan Bersama Blok (JMB), menjadi daya tarikan kepada setiap pasukan.

Selain itu, hadiah sampingan berupa hamper, air minuman juga disediakan kepada naib juara, pasukan Blok A. Keputusan lain, tempat ketiga dimenangi oleh pasukan Blok C, keempat dari pasukan Blok B dan Blok D, sekadar menduduki tangga kelima dan keenam.

Sebanyak enam pasukan dari Blok A, B, C, D dan E menyertai perlawanan turut disaksikan warga penghuni Pangsapuri Taman Subang Impian, seawal jam 9.00 pagi diadakan di kawasan letak kereta bersebelahan Dewan Komuniti Taman Subang Impian.

“Kami gembira kerana mendapat banyak sokongan moral dari semua komuniti khasnya AJK Persatuan Taman Subang Impian. Sokongan ini merealisasikan pertandingan kali kedua dapat diadakan dengan meriah.

“Walaupun hajat mahu melihat penyertaan golongan pelapis remaja atau kanak-kanak dalam pertandingan ini tidak kecapaian namun insya-Allah, kami harap tahun hadapan impian ini akan menjadi kenyataan,” kata Sdr Muzamir Ali, dari Biro Sukan dan Rekreasi, Persatuan Penduduk Taman Subang Impian, penganjur pertandingan ini.

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Sdr Fahmi dari Biro Sukan & Rekreasi sementara Sdr Wan Lokman Yusuf, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Subang Impian menyampaikan Piala Pusingan JMB Kejohanan kepada juara 2010 dari pasukan Blok E beserta hamper.

Turut hadir menyaksikan perlawanan ini, wakil JMB Blok D, Sdr Johari dan Puan Noraini dari Biro Wanita & Keluarga. Majlis penyampaian hadiah dihoskan oleh Sdr Rizal Isnin yang juga Setiausaha Persatuan Penduduk Taman Subang Impian.

Seluruh kru blogspot, mengucapkan tahniah kepada pasukan Blok E yang bekerja keras memenangi perlawanan ini seterusnya dinobatkan sebagai juara baru pasukan bola tampar antara blok 2010. Disiarkan tiga keping gambar sebelum menyusul berbagai gambar sepanjang perlawanan ini berlangsung, insya-Allah selepas ini.

Tiada ulasan: