Ahad, 31 Januari 2010

Keratan Akbar Perlawanan Bola Tampar Antara Blok

Keterangan gambar: Keratan akhbar Mingguan Warta Perdana Bil 1057

LIPUTAN Perlawanan Bola Tampar Antara Blok Taman Subang Impian yang diadakan baru-baru ini, mendapat perhatian akhbar Mingguan Warta Perdana Bilangan 1057 yang kini sudahpun berada di pasaran. Dapatkan naskah ini sekarang sebelum kehabisan...

Ahad, 24 Januari 2010

PM lancar Klinik 1Malaysia di PPR Lembah Subang

Keterangan gambar:

NAJIB Tun Razak bertanya khabar seorang warga kurang upaya, Samsudin Mandak, 70, selepas merasmikan Klinik 1Malaysia di PPRT Taman Putra Damai, Lembah Subang, Selangor. – BERNAMA

PERDANA MENTERI Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Klinik 1Malaysia di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur dan serentak dengan itu juga sebanyak 50 lagi klinik serupa memulakan operasinya.

Kehadiran klinik itu yang bertepatan dengan gagasan 1Malaysia iaitu ‘Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’, tentunya menggembirakan rakyat jelata kerana kedudukannya yang dekat dengan kediaman mereka, selain dapat menjimatkan kos mendapatkan rawatan kesihatan.

Sementara itu, Dato' Seri Najib juga turut merasmi seterusnya melancarkan Klinik 1Malaysia di PPR Lembah Subang.

Majlis pelancaran Klinik 1Malaysia di PPRT Subang, dihadiri lebih 2,000 ribu penduduk dan warga sekitarnya.

Klinik 1Malaysia adalah idea dari YAB Perdana Menteri bagi mengurangkan bebanan rakyat dan mengutamakan kesihatan rakyat.

Satu usaha terbaru kerajaan kepada golongan rakyat kurang berkemampuan.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan memperkenalkan perkhidmatan klinik komuniti yang dinamakan Klinik 1Malaysia di kawasan bandar, seperti klinik desa di luar bandar dengan peruntukan RM10 juta.

Jadi bagi warga Penduduk Pangsapuri Taman Subang Impian, yang ingin mendapatkan rawatan, sila berkunjung ke sana atau di Klinik 1Malaysia berdekatan.

Sabtu, 23 Januari 2010

Mohon Budjet Gelanggang Bola Tampar

Keterangan gambar: Sukar dapat sumbangan, cari dana dari sumber derma penduduk, jadi pilihan terakhir...
Keterangan gambar: Daifnya gelanggang bola tampar namun tetap digunakan kerana tiada pilihan.

SELEPAS pertandingan bola tampar antara blok Pangsapuri Taman Subang Impiaan, Sdr Setiausaha Persatuan Penduduk Taman Subang Impian, Rizal Isnin bercerita tentang gelanggang bola tampar yang beralaskan aspal tar bukannya simen di mana gelanggang sebenar yang sesuai sukan ini diadakan.

Beliau berharap paparan di dalam blog ini, mendapat perhatian pihak tertentu yang berkaitan dengan belia dan sukan. Antara nama yang disebut dapat menyumbang dana bagi menyediakan tapak gelanggang ialah YB Muhammad Busro Mat Johor, ADUN Paya Jaras, Sungai Buloh, Selangor.

YB Muhammad Busro ialah penggiat utama dan pemimpin tertinggi Belia 4B Malaysia dan peminat No 1 persada sukan bola selain bertanggung jawab portfolio belia dan sukan Selangor.

Selain memohon perhatian dari YB Paya Jaras, Sdr Rizal juga meminta pemimpin Zon 22 atau
individu yang berhajat memberi sumbangan menjayakan aktiviti sukan yang sering diadakan di kalangan penduduk.

"Sumbangan dan perhatian pihak tertentu, adalah sangat diharapkan. Persatuan menjangkakan selepas ini ada pihak tertentu berminat membantu. Dan pada masa yang sama Persatuan juga telah menghantar surat meminta bantuan dari YB Datuk Ahmad Maslan, Ketua Penerangan UMNO Malaysia.

"Harap surat yang dikirim itu, mendapat jawapan segera dan positif," kata Sdr Rizal ketika ditemui di lokasi pertandingan ini di adakan.

Jumaat, 22 Januari 2010

Klik Seminit!

Keterangan gambar: Apa ada pada nombor beb! Tapi No 14 tetap beri makna, tak gitu Che' Mat. Nak tau pasal apa? Itulah mata terakhir diperolehi Team Blok A sebelum tewas dengan team Blok E, 14-16.
Keterangan gambar: Fokas beb, nanti tersilap kira ada yang tak sempat minum teh bungkus...
Keterangan gambar: kanak-kanak sebagai penyokong bersorak riang, cayalah beb!
Keterangan gambar: kaum ibu turut datang memberi sokongan...terima kasih
Keterangan gambar: Apa dimenungkan si Lin ni? Takkan bawa diri bila dah kalah. Steady bro..
Keterangan gambar: Apa dah jadi bro? Main sorang-sorang ke..

INILAH saki baki gambar yang sempat dirakam pada hari perlawanan bola tampar antara blok Pangsapuri Taman Subang Impian 2010 anjuran Biro Sukan & Rekreasi, Persatuan Penduduk Taman Subang Impian.
Pertandingan ini adalah kali kedua diadakan tetapi kali ini manisnya kerana juara bakal membawa pulang selama sebulan Piala Pusingan JVB yang ditaja oleh Badan Pengurusan Bersama Blok.
Setiap gambar ada cerita tersembunyi dan hanya anda dapat menafsirkannya mengikut persepsi anda...selamat berangan.

Khamis, 21 Januari 2010

Pin Up & Peminat

Keterangan gambar: Pose tercantik dari Team Blok E dan Team Blok C. Ada gaya beb...

Keterangan gambar: Pasukan cabaran dari Team Blok A yang gagal mempertahankan kejuaraan


Keterangan gambar: Siap sedia hadapi cabaran dari Team Blok C
Keterangan gambar: Pose bergaya Team Blok E yang berjaya bergelar juara baru



TANPA peminat atau penonton dalam sesuatu aktiviti, program atau rancangan, pastilah mencacat cela suasana.

Ramai kehadiran tetamu akan memeriahkan situasi dan begitulah sebaliknya. Inilah apa yang kru blog sempat rakamkan keadaan di lokasi pertandingan bola tampar antara blok taman subang impian yang diadakan bersebelahan dewan komuniti pangsapuri.

Dan andalah boleh membaca senario sekeliling dan komitmen peserta pertandingan. tepuk dada tanya selera...

Rabu, 20 Januari 2010

Kalah & Menang

Keterangan gambar: Piala Pusingan pertama JVM yang menjadi rebutan kepada semua team
Keterangan gambar: Carta kedudukan antara Team yang bertanding
Keterangan gambar: Akur dengan keputusan sebagai naib juara sudah memadai bagi Team Blok A yang redha meminjamkan selama sebulan Piala Pusingan JVM kepada juara baru Team Blok E
Keterangan gambar: Team Blok B yang sentiasa meriah dengan gurauan menduduki tangga keempat .
Keterangan gambar: Menang tetap menang. Inilah wajah ceria pemain bola tampar Team Blok D yang menduduki tempat kelima dan keenam.

SUDAH menjadi adat, setiap pertandingan, ada menang dan ada yang tewas. Namun itu bukan mesej yang hendak disampaikan sebaliknya bersatu dan sepakat bersama-sama menjayakan program atau aktiviti dengan jayanya.
Terbukti sepanjang Pertandingan Bola Tampar Antara Blok Taman Subang Impian ada persefahaman dan tekad untuk mencapai kemenangan. Gambar yang disiarkan sudah cukup menjelaskan maksud yang tersirat.
Apapun, tahniah kepada Biro Sukan & Rekreasi di bawah pengurusan dua bapa yang amat komited dengan tugas dan tanggungjawab membangunkan acara sukan sebagai tirai Tahun 2010 ini.
Kepada Sdr Muzamir atau Amir dan Sdr Fahmi, sekalung tahniah dan jangan serik adakan program seperti ini pada masa hadapan.

Isnin, 18 Januari 2010

Aksi di gelanggang perlawanan bola tampar antara blok

Keterangan gambar: Azlin sebagai pengadil memberi isyarat batal dalam perlawanan antara Team Blok E dengan Team Blok B berkesudahan keputusan memihak kepada Team Blok E.
Keterangan gambar: Berpayung di bawah terik matahari mengadili perlawanan antara Team Blok C1 dengan Team Blok D1
Keterangan gambar: Sabri sebagai pengadil meniup wisel pertama pertemuan antara Team Blok D1 dengan Team Blok D. Ada gaya bro..
Keterangan gambar: Ini lagi satu akti tarian poco poco dipersembahkan Team Blok A ketika menentang Team Blok D1
Keterangan gambar: Team Blok A1 menentang habis-habiskan Team Blok C jersi hijau
Keterangan gambar: Team Blok C rancak mengatur strategi menghadapi sainganya Team Blok A1
Keterangan gambar: Bukan flying kick tapi aksi Team Blok B menentang pesaingnya Team Blok D2

Keterangan gambar: Bukan main layang layang tapi aksi mendongak Team Blok A menentang Team Blok D1


Keterangan gambar: Mana bola jadi rebutan Team Blok D1 menentang Team Blok B



Keterangan gambar: Bukan breakdance tapi aksi dari Team Blok D1




Keterangan gambar: Aksi terbang... dari Team Blok D1

BERBAGAI aksi dapat dilihat sepanjang seharian berada di gelanggang Perlawanan Bola Tampar Antara Blok Pangsapuri Taman Subang Impian 2010 yang diadakan, Ahad lalu.

Keputusan memihak kepada Team Blok E yang menewaskan Team Blok A dengan rubber set sekaligus mengubah penguasaan Team Blok A yang sebelum ini menjuarai pertandingan anjuran Biro Sukan & Rekreasi Persatuan Penduduk Taman Subang Impian.

Namun Team Blok D gagal menempatkan dua pasukannya dalam kelompok tiga terbaik. Team Blok D1 dan Team Blok D2, sekadar menduduki tangga kelima dan terakhir dengan tewas kepada Team Blok A di awal perlawanan diadakan.

Diikuti perlawanan Team Blok D2 yang terpaksa tunduk dengan Team Blok B dengan keputusan 14-25/17-25. Begitu juga akur dengan kelincahan Team Blok C dan Team Blok E.

Perlawanan Bola Tampar Antara Blok Taman Subang Impian 2010 dibahagikan kepada dua grup iaitu Grup A – Team Blok A, Team Blok C dan Team Blok D1 yang dijuarai oleh Team Blok A sementara Team Blok B, Blok E dan Blok D2 yang memihak kepada Team Blok B sebagai juara Grup B.

Ahad, 17 Januari 2010

Team E Juara Baru Bola Tampar Antara Blok 2010

Keterangan gambar: Wakil juara baru pertandingan bola tampar dari Blok E menerima trofi pusingan dari Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Subang Impian, Sdr Wan Lokman Yusof.
Keterangan gambar: Juara baru! Keceriaan diwajah Team Blok E bergambar kenangan bersama Piala Pusingan JMB selepas menewaskan Team Blok A dengan rubber set 16-14
Keterangan gambar: Ada gaya! Team Blok E menghadapi serangan dari pesaingnya Team Blok B 1

Team Blok A gagal pertahan kejuaraan
Perlawanan bola tampar antara blok Taman Subang Impian 2010, meriah

Teks, foto: ZAINIZAA, Biro Pendidikan & Ekonomi

CABARAN pasukan bola tampar dari Blok A yang cuba mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu, berakhir dengan kecewa apabila kemenangan memihak kepada naib juara tahun lalu, iaitu pasukan dari Blok E.

Kemenangan pasukan Blok E bagaikan membalas dendam di atas kekalahan mereka pada tahun lalu. Bagaimanapun kejayaan yang diraih oleh pasukan Blok E tidak semudah itu kerana mereka terpaksa akur apabila pasukan Blok A mengheret perlawanan ke rubber set.

Namun dalam pertarungan rubber set, pasukan Blok E berjaya melebar mata keputusan 16-14 sekaligus menghampakan penyokong pasukan Blok A. Laluan ke final memaksa team blok E berdepan dengan pencabar hebat seperti team Blok B, team Blok D2, team Blok C dan akhir sekali team Blok A.

Perlawanan Bola Tampar Antara Blok Taman Subang Impian, memasuki tahun kedua. Istimewanya, pada tahun ini hadiah berupa trofi atau piala pusingan disumbangkan oleh Pengurusan Bersama Blok (JMB), menjadi daya tarikan kepada setiap pasukan.

Selain itu, hadiah sampingan berupa hamper, air minuman juga disediakan kepada naib juara, pasukan Blok A. Keputusan lain, tempat ketiga dimenangi oleh pasukan Blok C, keempat dari pasukan Blok B dan Blok D, sekadar menduduki tangga kelima dan keenam.

Sebanyak enam pasukan dari Blok A, B, C, D dan E menyertai perlawanan turut disaksikan warga penghuni Pangsapuri Taman Subang Impian, seawal jam 9.00 pagi diadakan di kawasan letak kereta bersebelahan Dewan Komuniti Taman Subang Impian.

“Kami gembira kerana mendapat banyak sokongan moral dari semua komuniti khasnya AJK Persatuan Taman Subang Impian. Sokongan ini merealisasikan pertandingan kali kedua dapat diadakan dengan meriah.

“Walaupun hajat mahu melihat penyertaan golongan pelapis remaja atau kanak-kanak dalam pertandingan ini tidak kecapaian namun insya-Allah, kami harap tahun hadapan impian ini akan menjadi kenyataan,” kata Sdr Muzamir Ali, dari Biro Sukan dan Rekreasi, Persatuan Penduduk Taman Subang Impian, penganjur pertandingan ini.

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Sdr Fahmi dari Biro Sukan & Rekreasi sementara Sdr Wan Lokman Yusuf, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Subang Impian menyampaikan Piala Pusingan JMB Kejohanan kepada juara 2010 dari pasukan Blok E beserta hamper.

Turut hadir menyaksikan perlawanan ini, wakil JMB Blok D, Sdr Johari dan Puan Noraini dari Biro Wanita & Keluarga. Majlis penyampaian hadiah dihoskan oleh Sdr Rizal Isnin yang juga Setiausaha Persatuan Penduduk Taman Subang Impian.

Seluruh kru blogspot, mengucapkan tahniah kepada pasukan Blok E yang bekerja keras memenangi perlawanan ini seterusnya dinobatkan sebagai juara baru pasukan bola tampar antara blok 2010. Disiarkan tiga keping gambar sebelum menyusul berbagai gambar sepanjang perlawanan ini berlangsung, insya-Allah selepas ini.

Rabu, 13 Januari 2010

Peminat Tarian Poco Poco


BIRO Wanita dan Keluarga PPPTSI yang dipimpin oleh Puan Noraini dan Puan Danny, mempelawa ibu bapa dan sesiapa sahaja berminat menyertai Tarian Poco Poco.
Tarian Poco Poco akan diajar oleh seorang jurulatih berpengalaman dari luar. Bagaimanapun penyertaan dikenakan bayaran.
Maklumat mengenai program ini seperti tercatat di bawah ini.
Tarikh: 16 Januari 2010, hari Sabtu
Jam: 8.00 malam
Lokasi: Dewan Komuniti Pangsapuri Taman Subang Impian, Jalan Zuhal.
Bayaran penyertaan: RM6.00 seorang
Pendaftaran boleh dibuat pada malam tersebut di lokasi program ini diadakan.

Ahad, 10 Januari 2010

Mesyuarat Bulanan AJK Siri 1/2010


MESYUARAT bulanan AJK Persatuan Penduduk Pangsapuri Taman Subang Impian (PPPTSI) siri Pertama Januari/2009, berlangsung dengan jayanya.

Seramai 14 ahli Jawatankuasa, termasuk Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari PPPTSI menghadiri mesyuarat AJK siri Pertama bulan Januari 2009.

Mesyuarat yang diadakan di Dewan Komuniti Pangsapuri Taman Subang Impian, berlangsung selama lebih dua jam pada 8 Januari 2009, malam Jumaat lalu dimulai dengan kata-kata aluan oleh Pengerusi PPTSI, Sdr Wan Lokman Wan Yusof (gambar, kiri) seterusnya pembentangan laporan kewangan 1 Januari 2009 hingga 31 Dismeber 2009 oleh Bendahari PPPTSI, Sdr Firdaus.

Laporan kewangan menunjukan baki terakhir wang pada 31 Disember 2009 ialah sebanyak RM1,837.82 sen.

Penyata laporan kewangan akan diedarkan untuk maklumat ahli persatuan menerusi tampalan di papan kenyataan setiap blok, mulai minggu depan, insya-Allah.

Selain pembentangan laporan kewangan 2009, turut dibincangkan mengenai aktiviti yang bakal diadakan sepanjang tahun 2010. Kesemua AJK memberi pandangan dan sokongan padu kepada beberapa perancangan yang akan bermula, Mac ini.

Biro Sukan dan Rekreasi, merancang memulakan aktiviti perlawanan bola tampar. Dua pengerak utama biro ini, Sdr Muhammad Fahmi Ahmad dan Sdr Muzamir Ali, berharap kejohanan mini Liga Bola Tampar 2010 dapat diadakan seperti yang dirancangkan.

Menurut Sdr Amir, Liga Bola Tampar itu nanti akan disertai 6 hingga 8 pasukan terdiri dari penduduk taman. Setakad ini enam pasukan sudah menyatakan hasrat untuk menyertai pertandingan ini yang bakal diadakan pada 17 Januari 2010, hari Ahad, bermula jam 8.30 pagi di belakang Dewan Komuniti Pangsapuri Taman Subang Impian.

Bayaran RM35 dikenakan sebagai pendaftaran bagi setiap pasukan terdiri dari tujuh pemain. Hadiah berupa hamper akan menjadi rebutan kepada juara, naib juara dan tempat ketiga selain hadiah saguhati.

Pada masa yang sama Sdr Fahmi mensyorkan diadakan Sukaneka PPPTSB pada minggu pertama bulan Jun depan sempena cuti sekolah penggal kedua iaitu pada 5 Jun 2010., hari Sabtu. Sukaneka PPPTSI bakal diadakan di padang berdekatan yang lebih luas dan mampu menampung berbagai acara yang disediakan nanti.

Sementara itu Setiausaha PPPTSI, Sdr Ahmad Rizal Isnin, mencadangkan diadakan majlis Malam 1000 Impian di Dewan Komuniti Taman Subang Impian, pada malam 5 Jun 2010, hari Sabtu.

Pada malam itu nanti turut diadakan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Sukaneka selain cabutan bertuah, acara karaoke, pertandingan Sehati berdangsa dan sebagainya.

Tetapi sebelum itu, Sdr Rizal mencadangkan diadakan Hari Keselamatan yang membabitkan Pasukan Bomba dan Penyelamat, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), RELA dan Pasukan Ambulan dan Kecemasan.

Tujuan diadakan aktiviti ini adalah bagi membuat persiapan menghadapi situasi kebakaran, penyelamatan mangsa dan rawatan kecemasan. Program ini dirancang pada hari Sabtu, pada tarikh yang belum ditetapkan. Pembabitan seluruh warga penduduk, adalah dialu-alukan.

Turut mendapat persetujuan AJK cadangan Setiausaha mahu mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan PPPTSI pada Februari atau Mac ini. Namun tarikhnya belum ditetapkan dan akan diberitahu kepada ahli PPPTSI, dua minggu lebih awal dari tarikh mesyuarat diadakan.

Pengerusi PPPTSI turut mengingatkan jadual kerja-kerja gotong royong pada tahun ini dapat dilaksanakan dua kali iaitu pada awal Mac dan Ogos, sempena sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-53.

Seperti biasa, Biro Pendidikan dan Ekonomi yang dipimpin Sdr Zaini Zaa dan Sdr Chiew Keng Swee akan meneruskan aktiviti Motivasi Pelajar Cemerlang UPSR, PMR dan SPM bermula cuti sekolah penggal pertama Mac ini diikuti bulan Jun dan September 2010.

Selain itu, juga diadakan Bengkel Jati Diri menerusi malam berkhemah untuk kanak-kanak dan remaja lelaki dan perempuan yang diadakan pada Jun depan selain pada siang harinya diadakan pertandingan acara perseorangan main Dam Aji dan Bacaton.

Biro Keselamatan yang dipimpin oleh Sdr Mohd Fauzi Mat Isa dan Sdr Mazlan Che Hassan mencadangkan dari masa ke semasa diadakan pemantauan PATI di Taman Subang Impian yang membabitkan Imagrasen, Polis, RELA dan pihak berkuasa tempatan.

Ini kerana terdapat dakwaan warga PATI yang tinggal di Taman Subang Impian berdasarkan kehadiran mereka yang disyaki berlindung di rumah sewaan.

Pemimpin Biro Wanita dan Keluarga, Puan Noraini Mat Isa dan Danny Kyairoen Nisa, merancang mahu mengadakan Sambutan Hari Ibu dengan mengadakan ceramah kekeluargaan, pada pertengahan tahun ini oleh penceramah undangan.

Turut dirancangkan bengkel Tarian Poco Poco pada setiap malam Sabtu dan Ahad di Dewan Komuniti Taman Subang Impian selain pertandingan memasak resipi pilihan yang turut dihadiri Chef popular.

Juga Biro Wanita dan Keluarga merancang membawa ahli wanita yang berminat menyaksikan rakaman siaran Motivasi Keluarga Bersama datuk Dr Fadzilah Kamsah di Studio 1 Astro, pada masa akan datang.