Jangan sampai timbul fitnah - MuftiKUALA LUMPUR: Mufti dan tokoh agama menasihatkan pendakwah dan pengacara program agama, Ustaz Akhil Hayy supaya berterus terang mengenai status hubungannya dengan penyanyi Waheeda.
Mereka berpendapat, selagi Ustaz Akhil berdolak-dalik selagi itu ia menimbulkan pelbagai spekulasi dan fitnah di kalangan orang ramai.
Keterangan gambar: Muka Depan akhbar Mingguan Warta Perdana edisi terkini.
Mufti Perak, Tan Sri Dr Haji Harussani Haji Zakaria berkata, pernikahan harus diisytiharkan dan tidak sepatutnya disembunyikan dari pengetahuan masyarakat.
Katanya, jika disembunyikan dikhuatiri menimbulkan fitnah. “Nasihat saya, Ustaz Akhil perlu berterus terang sama ada sudah berkahwin atau sebaliknya, memandangkan kedua-duanya selebriti yang dikenali ramai.
“Langkah berterus terang ini boleh mengelak cerita yang tidak sedap didengar,” katanya ketika dihubungi.
Beliau memetik sebuah hadis Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud: “Jika kamu berkahwin buatlah kenduri walaupun dengan seekor kambing.”
Kita digalak mengadakan kenduri walaupun cuma menyembelih seekor kambing, katanya, bertujuan untuk menghebahkan kepada masyarakat perkahwinan kita.
“Tujuan perkahwinan dihebahkan untuk mengelak daripada fitnah,” tambahnya.
Sementara itu, penceramah bebas, Datuk Haji Daud Che Ngah, juga menasihatkan Ustaz Akhil dan pasangannya, Waheeda mengisytiharkan segera status hubungan mereka demi untuk kebaikan bersama.
“Jika sudah berkahwin umumkan saja sudah kahwin dan jika belum katakan berterus terang belum,” tambahnya.
Ustaz Daud berpendapat, Ustaz Akhil perlu umumkan statusnya dengan Waheeda secepat mungkin untuk mempertahankan institusi dakwah di negara ini.
“Jika beliau asyik mendiamkan diri akan ada suara-suara sumbang memperlekeh sikap para pendakwah. Nanti orang tidak percayai lagi pada pendakwah gara-gara isu Ustaz Akhil dan Waheeda,” ujarnya.
Menurut Ustaz Daud, berkahwin itu baik kerana boleh mengelak zina, difitnah serta dapat melaksanakan tugas batin yang dihalalkan.
Beliau memetik ayat al-Quran yang bermaksud: “Antara tanda-tanda kebesaran Allah menciptakan isteri dari kalangan kamu untuk membolehkan kami mendapat rahmat, supaya kamu boleh tinggal bersamanya dan membentuk kasih sayang (perhubungan intim yang dihalalkan) dan akhirnya mendapat rahmat (rumah tangga aman dapat anak-anak yang akan mendoakan pada kita kelak)”.
Sebaliknya, kata Ustaz Daud, jika tidak mengisytiharkan perkahwinan kita pasti berdepan dengan fitnah.
Seorang lagi penceramah bebas, Ustaz Hasan Mahmud Al-Hafiz juga mahukan Ustaz Akhil dan Waheeda berterus terang mengenai status hubungan mereka.
Beliau memetik hadis Rasulullah yang bermaksud: “Sebesar-besar sunah nabi adalah perkahwinan yang membawa berkat. Salah satu keberkatan itu mengisytiharkannya pada orang ramai”.
Ustaz Hasan berkata, sikap Ustaz Akhil dan Waheeda masih membisu boleh mengundang pandangan negatif masyarakat pada mereka.
“Saya ingin menceritakan sebuah kisah Nabi Muhammad s.a.w yang waktu itu sedang berjalan dengan isterinya, Saudah.
“Dalam masa sama dua rakan nabi yang berjalan di kawasan itu telah memilih jalan jauh kerana tidak mahu terserempak dengan nabi. Akhirnya mereka salah sangka, menuduh nabi bercakap dengan seorang perempuan, sedangkan nabi bersama isterinya yang sah.
“Ustaz Akhil perlu menunjukkan contoh terbaik, jangan terus berselindung,” ujar Ustaz Hasan.
Beliau berkata, berkahwin merupakan sunah nabi. Bagi lelaki yang mahu menjadi imam perlu berkahwin terlebih dahulu. Begitu mulianya orang berkahwin.
“Jika kita sudah berkahwin perlulah mengisytiharkannya kerana banyak kelebihan, antaranya panjang umur, sihat, jiwa tenang, ekonomi teguh kerana timbul kesedaran kumpul wang untuk kebahagiaan keluarga,” ujar Hassan.
Hubungan pasangan Ustaz Akhil dan Waheeda menimbulkan kontroversi apabila isteri Ustaz Akhil, Maizawati Zainal,33, mengesyaki suaminya bernikah secara senyap dengan Waheeda sejak tiga bulan lalu.
Sejak itu, kata Maizawati, Ustaz Akhil tidak pulang ke rumah mereka di Perak serta mengabaikan tanggungjawabnya memberi nafkah zahir batin.
Kes perceraian Ustaz Akhil dan Maizawati akan disebut di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh pada 15 Julai ini.