Tiga ciri bangunkan masyarakat berjaya
Raja Muda Perak, Dr Raja Nazrin Shah bertitah pembangunan ekonomi dan sosial di Asia Timur tidak akan berjaya sekiranya negara di rantau itu tidak membuat pelaburan dalam aspek pembangunan sumber manusia dan institusi.
Baginda bertitah, aspek itu perlu diberi penekanan penting sekiranya komuniti Asia Timur mahu berfungsi dengan baik.
"Pelaburan dalam industri dan infrastruktur sangat penting, tetapi tanpa komitmen tinggi dalam pembangunan sumber manusia dan institusi, tidak akan ada kemajuan yang kualitatif," titah baginda dalam ucaptama pada Kongres Asia Timur ketujuh anjuran Institut Strategi dan Kepemimpinan Asia (Isis) di sini, semalam.
Kongres yang berlangsung dari 6 hingga 8 Disember itu disertai kira-kira 100 peserta. Hadir sama Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Isis
Raja Nazrin bertitah, pembangunan komuniti Asia Timur perlu mempunyai tiga ciri utama iaitu relevan, holistik dan pembabitan sekiranya mahu membangunkan masyarakat yang berjaya.
"Semua pihak termasuk sektor swasta, kumpulan pekerja dan organisasi sosial perlu bekerjasama bagi memastikan pembangunan komuniti yang lebih bermakna.
"Komuniti Asia Timur perlu lebih inklusif dan terbuka yang boleh menarik perhatian dunia terhadap rantau ini. Kita tidak boleh bersikap tertutup terhadap dunia, jika tidak rantau ini akan terus ketinggalan," titah baginda.
Menurut Raja Nazrin, walaupun Asia Timur mempunyai kekuatan dalam bidang ekonomi, namun masih banyak yang perlu dilakukan dalam aspek sosial dan politik.
"Jika kita tidak menggembleng seluruh tenaga dalam mengukuhkan sosiopolitik, kita akan kehilangan faktor yang membuatkan kita berjaya dan mendapat tumpuan dunia," katanya.
Raja Nazrin yang menyifatkan komuniti sebagai satu perhimpunan mereka yang mempunyai pemikiran sama, bertitah ciri itu sebenarnya dimiliki rantau Asia Timur walaupun mempunyai budaya, sejarah dan sosiopolitik yang berbeza.
"Ini berdasarkan pengetahuan bahawa sekiranya tiada keamanan dan keselamatan di rantau ini, negara kita tidak mempunyai keupayaan untuk meneruskan usaha pembangunan dan kemajuan untuk kesejahteraan rakyat," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan