Obama, Kaherah, Syiah dan KhomeiniPENULIS menerima kad undangan untuk menghadiri Majlis Sambutan Ulang tahun Kelahiran anakanda Rasulullah saw, Fatimah Az-Zahrah pada 15 Jun lalu.
Pada malam itu turut diadakan majlis memperingati ulang tahun pemergian Ayatullah Khomeini. bagi para penyokong Syiah, bulan Jun tahun ini adalah istimewa kerana antaranya tarikh 3 Jun dan 15 Jun itu.
Bagi pendokong mazhab Sunnah wal Jamaah pula, adalah bukan amalan untuk meraikan ulang tahun kelahiran Fatimah Az-Zahrah walaupun beliau turut amat dihormati. Sementara Khomeini walaupun dianggap sebagai pemimpin besar Islam abad ini kerana mempelopori Revolusi Islam, tarikh pemergiannya hanya diperingati oleh mereka yang mendokong pemikiran dan perjuangan beliau.
Khomeini meninggal dunia pada 3 Jun 1989, iaitu 20 tahun lalu.
Pada tahun itu, penulis berkunjung ke Iran untuk menghadiri persidangan mengenai Afghanistan di Institut Kajian bagi Politik Antarabangsa (IPIS). Penulis sempat menziarahi Makam Imam Khomeini sementara di rumah seorang diplomat Malaysia di Taheran, penulis juga sempat menonton video penuh upacara pengkebumian Khomeini yang begitu mengkagumkan kerana penghormatan rakyatnya amat luar biasa.
Maka sepanjang 20 tahun lalu, pengaruh politik Iran telah mengubah landskap politik dunia, khususnya bagi kaum Syiah. Umpamanya di Lebanon, mereka tidak lagi menjadi kaum terpinggir tetapi muncul sebagai kuasa politik penting melalui pertubuhan Hizbullah, yang bukan saja berani mencabar Israel tetapi Amerika Syarikat.
Khamis itu juga merupakan tarikh penting bagi hubungan Amerika dan umat Islam. Pendekatan baru Presiden Barack Obama dizahirkan melalui ucapannya di Dewan Besar Universiti Kaherah. Beliau berkata bahawa kunjungannya ke Kaherah merupakan permulaan baru bagi hubungan antara umat islam dan Amerika.
Pemilihan beliau untuk berucap di Universiti Kaherah, Mesir juga mempunyai pengertiannya tersendiri. mengapa beliau memilih untuk menyampaikan ucapannya yang bersejarah ini?
Maka Mesir dipilih untuk mewakili umat islam dalam hubungannya dengan Amerika. Kedudukan Mesir terutama Kaherah sebagai kota intelektual dunia Arab turut menjadikannya ibu tamadun dunia Islam zaman ini.
Walaupun Mesir sebuah negara Sunnah wal Jamaah tetapi tradisi Syiahnya kuat. Ini kerana pada masa silam ia pernah diperintah oleh kerajaan Syiah bernama Fatimiah sempena nama anak Rasulullah s.a.w.
Kerajaan itu turut mengasaskan kota Kaherah dan menubuhkan universiti Al-Azhar, yang namanya juga berkaitan dengan Az-Zahrah, perkataan yang diminati oleh orang Syiah.
Universiti Kaherah yang ditubuhkan pada 1908 merupakan pusat pengajian tinggi bukan agama sebagai mengimbangi Universiti Al-Azhar. Maka fakulti yang paling awal dan utama ialah perubatan dan kejuruteraan.
Namun begitu, mahasisiwa yang cenderong pada perjuangan Islam dan menganggotai Ikhwanul Muslimin pula datang dari fakulti-fakulti ini dan bukan semata-mata dari Universiti Al-Azhar.
Iran dengan cepat menjawab ucapan Obama apabila pengganti Khomeini, Ayatullah Ali Khamenei dalam ucapan memperingati pemergian Khomeini menyatakan bahawa ucapan yang muluk-muluk tidak bererti tanpa perubahan tindakan yang bermakna.
Itu merupakan cabaran Obama dan umat Islam bersedia menyambut secara sewajarnya. - Oleh Zin Mahmud
Tiada ulasan:
Catat Ulasan