Khamis, 24 Disember 2009

Esei Akhir Penghujung 2009

Berakhir dasawarsa pertama alaf kedua

31 Disember ini maka berakhirlah tahun 2009. Jika dekad ini dikira dari tahun 2000, maka ia juga menandakan penghujung dasawarsa pertama bagi abad ke-21 dan alaf kedua.

Dekad dan dasawarsa mempunyai sama maksud. Dasa ialah sepuluh dan warsa ialah tahun, dari perkataan Sanskrit. Dekad dari perkataan Inggeris, decade.

Abad dan kurun mempunyai makna serupa. Sementara perkataan lain daripada alaf ialah milenium. Satu daripada bahasa Arab, dan satu lagi bahasa Inggeris. Bahasa Melayu diperkayakan oleh perkataan-perkataan Sanskrit, Arab dan Inggeris.

Bahasa Sanskrit sudah lama mati, Tetapi ia diwarisi oleh Hindi dan Urdu. Bahasa Melayu amat selesa dengan perkataan-perkataan daripada bahasa Sanskrit. Seperti Latin, Sanskrit menjadi bahasa yang mampu mengungkap buah fikiran bertahap tinggi. Tetapi kedua-duanya telah pupus.

Hindi, bahasa rasmi India mewarisi Sanskrit. Pada zaman India diperintah Islam, iaitu oleh Moghul, bahasa Parsi yang dibawanya terterap ke dalam Hindi untuk melahirkan Urdu. Dengan gabungan Sanskrit dan Parsi, Urdu muncul sebagai bahasa indah.

Kedua-dua Hindi dan Urdu muncul sebagai bahasa yang indah, sedap didengar oleh telinga Melayu. Cuba dengar dialog dalam filem Bollywood, dengan mudah ia menjadi ajukan bagi peminat dari kalangan orang Melayu.

Apatah lagi muzik dan lagu Hindustan. Dengan alatan muzik yang begitu mengasyikkan bagi orang Melayu.

Kini, Urdu adalah bahasa rasmi Pakistan, negara Islam yang lahir daripada perpecahan India. Bahasa ini menggunakan tulisan seperti yang digunakan oleh Parsi. Keindahan Urdu dapat dinikmati dengan mendengar puisi Muhammad Iqbal, penyair India yang merindukan penubuhan negara Islam Pakistan.

Parsi pula adalah bahasa yang indah. Kedatangan Islam ke negara itu menjadikan Parsi menggunakan aksara Arab sebagai tulisannya. Tetapi ia mengubah suai untuk memadankan kegunaannya bagi bahasa itu. Khatnya juga berbeza daripada tulisan yang banyak digunakan oleh orang Arab.

Keindahan Parsi sampai kemuncaknya pada zaman Khilafah Abasiah. Walaupun kepimpinannya adalah Arab Syunnah wal Jamaah tetapi kerajaannya memerintah dengan mandat yang diterima daripada Syiah dan orang Parsi. Maka bahasa Abasiah adalah Arab dan Parsi.

Apabila Mongol datang dan menakluki kerajaan Abasiah, ia mendapati suatu tamadun yang besar.

Bukannya orang Parsi jadi Mongol. Tetapi mereka yang menjadi Parsi. Pemerintahan merekalah yang menakluki Afghanistan dan India, dan kemudian dikenali sebagai Moghul.
Nusantara

Dunia Melayu, Nusantara yang terasnya di Jawa, Sumatera dan Tanah Melayu selesa dengan persuratan India, Parsi dan Arab. Sebab itu dalam bahasa Melayu terdapat banyak perkataan bertahap tinggi dari bahasa Sanskrit, Parsi dan Arab.

Bukan itu saja, tamadun dan budaya yang diminati oleh orang Melayu juga datang dari Arab, Parsi dan India. Bila sebut Arab dan Parsi, pusat asalnya ialah di Baghdad bermula dengan pemerintahan Abasiah.

Tetapi pengaruh India adalah lebih awal lagi apabila Sriwijaya, Majapahit dan kerajaan sezamannya mengambil tamadun yang berasaskan Sanskrit.

Pemerhati sering melihat sesuatu tamadun dari sudut agama, iaitu Hindu, Buddha dan Islam. Tetapi cuba lihat dari sudut bahasa, iaitu Sanskrit, Parsi dan Arab, mungkin ia lebih membuka pemahaman kepada jati diri Melayu.

Sememangnya kemudian Inggeris, baik dalam bentuk British mahupun Amerika menawan India, Iran dan Iraq hingga menghancurkan tamadun gemilang di situ. Dunia Melayu pula bukan saja dikuasai Inggeris tetapi juga Belanda dan Portugis.

Maka bahasa Melayu turut dipengaruhi ketiga bahasa Barat itu. Masuklah perkataan-perkataan Portugis, Belanda dan Inggeris ke dalam bahasa Melayu. Tetapi perkataan daripada bahasa Inggeris lah yang paling banyak dan secara terus terusan masuk.

Tetapi bagi orang Melayu, perkataan dari bahasa Sanskrit, Arab dan Parsi adalah lebih selesa digunakan daripada Inggeris.

Cuba lihat, walaupun dasawarsa itu panjang daripada dekad, tetapi ia lebih dirasakan indah. Begitu juga dengan abad atau kurun. Tidak ada orang Melayu mahu mengambil perkataan century bagi menggantikan abad.

Walaupun ada orang menggunakan milenium atau milenia, tetapi alaf lebih indah, malah ringkas..

Contoh lain ialah bangunan. Tidakkah indah bagi bahasa Melayu untuk menggunakan perkataan wisma daripada building. Atau menara daripada tower.

Begitu juga nama tempat. Damansara, Titiwangsa, Melawati, Mahameru dan seumpamanya adalah dari bahasa Sanskrit. Cuba bandingkan dengan Brickfields, Glenmarie, Cameron dan Butterworth. Mana lebih indah?

Pada tahun 1970-an, sememangnya bahasa Melayu sedang bangkit. Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia berpakat melalui persamaan ejaan sebagai usaha untuk menjadikan Melayu bahasa tamadun.

Kedua-dua negara di bawah pimpinan Tun Razak dan Suharto sedang muncul sebagai teras ASEAN yang mahu membawa kemakmuran baru di Nusantara.

Andai kata ketika itu Indonesia dan Malaysia berjaya menjadi negara berekonomi maju, maka bahasa Melayu akan turut bangkit. Singapura pasti akan mengutamakan bahasa Melayu.

Setelah 20 tahun, Indonesia gagal muncul sebagai negara maju. Malaysia saja tidak mampu menjulang bahasa Melayu.

Ketika yang sama hegemoni Inggeris mula memantap. Kesatuan Soviet kalah dalam Perang Dingin kepada Amerika. Inggeris mengalahkan Rusia.

Globalisasi berlaku dengan Inggeris sebagai bahasanya. Akibat Perang Dingin berakhir, maka rangkaian ketenteraan yang kemudian menjadi Internet tertebar ke seluruh dunia, bahasa mereka ialah inggeris.

Maka orang Melayu kini merasakan untuk bersaing mereka mesti berbahasa Inggeris. - Oleh Zin Mahmood

Tiada ulasan: