Rabu, 27 Mei 2009

Akhbar Minggu Ini

Bukti Ustaz Akhil nikah Waheeda
Oleh: M Rozi Hassan
KUALA LUMPUR: Seorang pendakwah bebas mendakwa mempunyai bukti bahawa Ustaz Akhil Hayy, 40, sudah berkahwin dengan penyanyi Norwahidah Abdul Wahab atau Waheeda Wassini, 31, kira-kira tiga bulan lalu.
Pendakwah itu mendakwa kenal jurunikah yang menikahkan pasangan itu serta lokasi majlis akad nikah pasangan itu berlangsung.
“Saya hampir 10 tahun kenal Ustaz Akhil. Pendek kata, luar dalam semua saya tahu tentang rahsia Ustaz Akhil.
“Berita dia kahwin dengan Waheeda pun dalam pengetahuan saya dan dia tidak boleh sorok dengan saya,” katanya yang mengaku bersahabat baik dengan pengacara itu.
Desas-desus menyatakan Ustaz Akhil berkahwin dengan Waheeda sudah lama tersebar namun pasangan itu menafikan sekeras-kerasnya.
Tindakan pasangan itu menafikan hubungan mereka bukan saja menimbulkan tanda-tanya di kalangan peminat, malah isteri Ustaz Akhil, Maizawati Zainal, 33, tidak dapat menghidu rahsia suaminya.
Maizawati dalam pendedahannya di sebuah stesen TV baru-baru ini berkata, Ustaz Akhil pernah meminta izinnya untuk berkahwin dengan Waheeda, namun dia tidak tahu sama ada suaminya itu sudah berkahwin atau tidak.
Maizawati kini menuntut cerai daripada Ustaz Akhil untuk membina kehidupan baru, disebabkan suaminya sejak Februari lalu tidak pulang ke rumah dan hilang tanpa khabar berita.
Mengulas kemelut rumah tangga pendakwah itu, penceramah bebas itu menasihati Ustaz Akhil supaya tampil mengumumkan perkara sebenar hubungannya dengan Waheeda bagi mengelak tanggapan lebih buruk oleh masyarakat.
“Pasangan itu tidak perlu menyembunyikan pernikahan mereka kerana cara itu bukanlah langkah yang bijak .
“Sampai bila mereka hendak berbuat demikian sebab mereka bukannya buat maksiat,” katanya.

Tiada ulasan: