Yogyakarta, sebuah daerah di Pulau Jawa, Indonesia, yang mendapat gelaran 'daerah istimewa' kerana masih mengekalkan pemerintahan beraja atau kesultanan, sesungguhnya mempunyai keistimewaan yang lebih daripada itu.Selain sebagai satu-satunya daerah di Indonesia, yang masih mempunyai raja bertakhta dari zaman kerajaan Mataram abad kelapan, Yogyakarta cukup kaya dengan tarikan sejarah, alam semula jadi dan kegiatan seni budaya tradisi penduduknya.Daerah Istimewa Yogyakarta, begitu jolokan yang diberikan oleh kerajaan pusat Indonesia, ialah sebuah pusat pelancongan dan budaya yang cukup unik dan menarik untuk dikunjungi pelancong dari dalam dan luar republik itu.Di daerah inilah terletak sebuah candi agama Buddha yang terbesar di dunia iaitu Borobudur dan sebuah kuil Hindu yang antara terbesar di Asia Tenggara iaitu Prambanan, kedua-duanya telah diisytiharkan sebagai tapak warisan dunia oleh Unesco.Selain itu, Yogyakarta turut mempunyai sebuah gunung berapi yang masih aktif sejak tahun 1548 iaitu Gunung Merapi, yang kali terakhir meletus pada tahun 2006, yang menjadi tarikan pelancong yang ingin menyaksikan kesan letusan lama atau kepulan asap yang keluar setiap hari dari puncak gunung itu.
Yogyakarta, yang mempunyai hampir empat juta penduduk, adalah antara satu daripada lima daerah di Indonesia yang diberi taraf istimewa untuk mentadbir daerahnya sendiri jauh daripada terikat dengan kuasa atau sistem pemerintahan kerajaan pusat.Empat daerah lain yang turut mendapat status istimewa ini ialah Acheh, Papua dan Papua Barat, yang masing-masing mempunyai sejarah konflik dan pernah menuntut kemerdekaan daripada kerajaan pusat Indonesia, serta Jakarta sendiri kerana keistimewaan kawasannya yang luas.Raja Kesultanan Yogyakarta sekarang iaitu Sri Sultan Hamengkubuwono X, 63 tahun, selain sebagai raja, turut memegang jawatan gabenor yang mentadbir daerah Yogyakarta.Menurut sejarahnya, sewaktu Indonesia dalam proses hendak mendapat kemerdekaan, kesultanan Yogyakarta di bawah pemerintahan ayahanda raja sekarang, Sri Sultan Hamengkubuwono IX telah membuat keputusan untuk bernaung di bawah republik itu.Langkah raja Yogyakarta itu dialu-alukan oleh presiden pertama Indonesia pada masa itu iaitu Jenderal Sukarno.Dan bagi membalas penghormatan itu, lalu digubal satu undang-undang pada 1950 bagi mengiktiraf kesultanan Yogyakarta dan daerahnya diberi gelaran 'istimewa' dengan hal-ehwal dalamannya diletak di bawah kuasa raja yang dilantik sebagai gabenor.
Keistimewaan Yogyakarta juga terserlah apabila Sukarno pernah menjadikannya ibu negara sementara Indonesia sewaktu penjajah Belanda menduduki Jakarta dari 1946 hingga 1950 selepas tamat Perang Dunia Kedua apabila Belanda cuba menjajah semula Indonesia sebaik republik itu memperoleh kemerdekaan pada 1945.Yogyakarta, satu daripada 33 daerah yang terdapat di kepulauan Indonesia, kini semakin maju seperti daerah lain, umpamanya Jawa Barat (Bandung), Jawa Timur (Surabaya), Sumatera Utara (Medan), Kalimantan Barat (Pontianak) malah Jakarta.Arinto Prakoso, anak tempatan Yogyakarta berkata daerah itu dapat menikmati kemajuan seperti hari ini kerana kebijaksanaan pimpinan kedua-dua raja kesultanan itu iaitu Sri Sultan Hamengkubuwono IX dan anakanda serta pemerintahnya sekarang Sri Sultan Hamengkubuwono X.Bagi membangunkan daerah itu, kesultanan itu memberi tumpuan kepada tiga bidang yang ia mempunyai keistimewaan atau kelebihan serta keupayaan memajukannya iaitu pelancongan, pendidikan dan perusahaan kecil, menurut Arinto yang bekerja sebagai jurupandu pelancong.Dari sudut pelancongan, keistimewaannya memiliki candi Borobudur, yang dibina penganut Buddha di zaman dinasti Sailendra mulai tahun 750 hingga 850 dan kuil Prambanan oleh penganut Hindu di zaman kerajaan Mataram pada tahun 856, dimanfaatkan Yogyakarta sebagai penjana penting sumber pendapatannya.Kedua-dua candi dan kuil ini, yang ditemui kira-kira dua abad lalu, telah dipromosi ke seluruh dunia hingga dapat menarik ribuan pelancong tempatan dan luar Indonesia untuk khususnya datang ke Yogyakarta, yang sudah lebih sinonim dengan Borobudur.
Turut menjadi tarikan utama bagi mereka yang berkunjung ke Yogyakarta ialah 'Kraton Sultan' atau istana raja yang sebahagiannya telah dijadikan muzium yang mempamerkan segala peralatan adat istiadat diraja dan sejarah turun temurun kesultanannya yang dibina oleh Sultan Hamengkubuwono I pada 1756.Apa yang menarik ialah adat resam dan tradisi kehidupan penduduk istana itu masih dikekalkan hingga sekarang di mana boleh dilihat lelakinya mamakai kain Jawa, dengan keris panjang disisip di pinggang belakang serta memakai topi 'blangkon' dan wanitanya berpakaian seolah berkemban.Selain itu, terdapat sebuah lagi istana berhampiran yang dipanggil Pura Pakualaman dan taman istirehat untuk keluarga diraja, digelar Istana Air Taman Sari yang dilengkapi dengan kolam mandi ala seni binaan Rom.Bagi pendidikan pula, Arinto berkata bidang itu digunakan oleh kesultanan untuk melonjakkan Yogyakarta sebagai pusat ilmu utama Indonesia, yang kini terdapat lebih daripada 100 pusat pengajian tinggi kerajaan dan swasta, dengan menarik pelajar tempatan dan asing bertumpu ke daerah ini untuk melanjutkan pelajaran.Di daerah inilah terdapatnya beberapa pusat pengajian tinggi yang ulung dan terkenal seperti Universitas Gajah Mada yang dibuka sejak 1949, Universitas Islam Indonesia (1948), Universitas Ahmad Dahlan (1960) (dulu dikenali sebagai IKIP Muhammadiyah Yogyakarta) dan Institut Seni Indonesia (1984).
Peranan Sri Sultan Hamengkubuwono IX dalam bidang pendidikan ini cukup besar, apabila beliau sendiri pernah membenarkan beberapa bangunan dan kemudahan di kratonnya untuk kegunaan Universitas Gajah Mada pada awal penubuhannya.Secara langsung, kehadiran pelajar yang dianggarkan 300,000 orang setiap tahun bukan sahaja menyemarakkan bidang pendidikan di Indonesia malah menggiatkan aktiviti ekonomi Yogyakarta seperti pengangkutan, makanan dan restoran, pelancongan dan penginapan, menurut Arinto.Malah kata Arinto, Yogyakarta yang satu ketika dulu diberi jolokan 'kota sepeda' (basikal) kini dipanggil 'kota sepeda motor' kerana sesak dengan ramainya pelajar menunggang motosikal untuk berulang-alik ke pusat pengajian mereka.Satu lagi tumpuan pentadbiran kesultanan Yogyakarta bagi meningkatkan ekonominya ialah memajukan perusahaan kecil yang melibatkan ramai penduduk setempat seperti perusahaan batik, ketukangan perak, barangan kulit, pembuatan pasu dan keris.Batik Jawa Yogyakarta berbeza dengan batik dari daerah lain dan mudah dikenali kerana warnanya terhad kepada warna tanah atau cokelat dan garisan corak motifnya yang banyak mengandungi bunga teratai akan diletak melintang.Walaupun batik Jawa kini sudah dipengaruhi dengan corak moden dan mempunyai pelbagai warna, keutuhan keaslian batik Jawa yang mempunyai warna dan corak asalnya masih dipelihara oleh penduduk di dalam Kraton yang menjadikan batik Jawa ini sebagai pakaian eksklusif seharian mereka termasuk rajanya.
Atas usaha gigih Kesultanan Yogyakarta menyemarakkan aktiviti perusahaan kecil, kini terdapat banyak kedai batik Jawa, ketukangan perak, kraf kulit, jualan pasu dan keris di hampir seluruh kota diraja ini yang sentiasa dipenuhi dengan pengunjung tempatan dan asing.Yogyakarta yang turut digelar sebagai pusat budaya juga masyhur dengan persembahan keseniannya seperti balet epik Ramayana dan wayang kulit yang diadakan pada setiap malam di kota ini, yang sudah pasti akan dimasukkan dalam aturcara lawatan sesiapa sahaja yang berjunjung ke sini.Menurut Kepala Lembaga Pelancongan Indonesia bagi Daerah Istimewa Yogyakarta, Bapak Tazbir, kota diraja ini ialah antara daerah di Indonesia yang popular dalam kalangan pelancong Malaysia kerana keistimewaannya seperti itu.Tazbir berkata selain melancong ke tempat bersejarah, orang Malaysia suka membeli-belah pelbagai barangan buatan tempatan yang menarik dan murah seperti yang terdapat di kawasan perniagaan popular Malioboro di tengah kotaraya ini.Pengurus Besar Hotel Saphir Yogyakarta Desmond Rozario, seorang anak Negeri Sembilan, berkata pelawat Malaysia dan Singapura sekarang semakin ramai berkunjung ke Yogyakarta sejak adanya penerbangan tambang murah AirAsia dari Kuala Lumpur dan Singapura.-- BERNAMA (Zakaria Abd Wahab)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan