Rabu, 12 Ogos 2009

Minggu terakhir hadiri kelas motivasi






















Salam sejahtera.






Minggu lalu, 7 Ogos lalu, merupakan kelas terkahi, motivasi diri dan teknik menjawab soalan yang diseliakan oleh Cikgu Mohammad Hafiz dari Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang (SKHK). Penyertaan dari anak-anak penduduk Taman Subang Impian bertambah kepada 70 orang.






Syukur alhamdulillah, program anjuran Biro Pendidikan dan Ekonomi, berjaya mencapai matlamatnya, memberi input kepada murid yang bakal menghadapi UPSR, PMR dan SPM, tidak lama lagi.






Semoga empat minggu bertandang di dalam program ini memberi sedikit sebanyak info berguna kepada anak-anak generasi alaf 22. Tahniah kepada ibu bapa yang perihatin dengan program ini dan juga kepada semua AJK Biro PPTSI yang sentiasa memberi komitmen yang tinggi menjayakan program julung kali ini.






kepada semua anak murid, selamat maju jaya.

Rabu, 5 Ogos 2009

Bangsa Membaca Bangsa Berjaya

IMBAS kembali. Bila penulis ini berada di sekolah rendah di Pasir Mas, Kelantan pada awal 1970-an, Bahasa Inggeris adalah sesuatu yang amat 'asing' sekali bagi beliau.
Ejaan dan sebutan perkataan bahasa ini amat ganjil dan sukar sekali bagi beliau, sehinggakan beliau hampir-hampir 'menjauhkan diri' daripada mempelajarinya. Bagi penulis ketika itu, bahasa ini memang 'menyusahkan' hidupnya.
Tapi kata-kata Perdana Menteri Malaysia yang kedua AllahyarhamTun Abdul Razak Hussein, yang dikenali juga sebagai Bapa Pembangunan Malaysia, telah mengubah segalanya.
"Untuk membangun dan maju ke hadapan, kita perlu ilmu pengetahuan. Satu cara untuk mendapatkan ilmu pengetahuan ialah dengan membaca..." beliau dilaporkan berkata oleh media ketika itu.
Kata-kata itu merangsang penulis menghabiskan masa berjam-jam lamanya setiap waktu lepas sekolah di kutub khanah (perpustakaan) yang penuh dengan buku-buku dan karya Bahasa Inggeris.
Walaupun dengan pengetahuan yang boleh dikira sebagai kosong dalam bahasa asing ini, dengan berbekalkan sebuah kamus dwi-bahasa, penulis dengan secara merangkak-merangkak membaca karya-karya dalam Bahasa Inggeris yang ditulis karyawan terkenal seperti Enid Blyton, Somerset Maughan, Robert Louis Stevenson, Agatha Christie, Edgar Allan Poe dan Shakespeare.
Penulis juga mendapati dengan membaca novel serta karya yang mempunyai terjemahan dalam Bahasa Melayu/Inggeris, seperti Pending Permata (Red Winds), Buaya Mati Dua Kali (The Crocodile Dies Twice), Harimau Lembah Pahit (Tiger of Lembah Pahit), Gendang Kosong (Empty Drums), Don Kisot (Don Quixote) dan Hikayat Seribu Satu Malam (Arabian Nights) telah banyak membantu.
"Jika kamu faham tentang apa yang ditulis, kamu tentu dapat mempelajari (Bahasa Inggeris) dengan lebih cepat," seorang guru memberitahu penulis.
Itulah caranya penulis mempelajari Bahasa Inggeris, satu bahasa yang beliau anggap amat sukar untuk dipelajari satu masa dahulu.
Bagaimanapun, penulis tidak pernah meninggalkan, bahkan membaca berulang kali tanpa jemu, karya hebat dan klasik sasterawan Melayu seperti Rentung, Patah Sayap Terbang Jua, Tulang-tulang Berserakan, Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, Merantau Ke Deli, Di Bawah Lembayung Kaabah, Tenggelamnya Kapal van Der Wick, Atheis dan banyak lagi.
Minggu lepas, penulis berkunjung ke Kompleks PKNS, Shah Alam kerana satu urusan. Beliau agak hairan melihat ramai pengunjung berkumpul lobi kompleks itu..
"Ada apa (yang berlaku) ?" Tanya beliau kepada seorang pengunjung wanita.
"Awak tak tahu ke bulan ini (Julai) ialah Bulan Membaca", jawab wanita itu, seorang ibu yang mahu dikenali sebagai Evelynn.
"Awak tak perasan iklan dalam televisyen setiap malam? katanya lagi, membuatkan penulis tersipu malu.
Sebenarnya kompleks itu menganjurkan 'Pesta Buku Negeri Selangor'. Pesta buku itu ialah dari 24 Julai hingga 3 Ogos, 10 pagi-9 malam.
Kempen membaca dilancar secara rasmi pada 1995 semasa Perayaan Bulan Membaca Kebangsaan. Temanya ialah "Mari Membaca Bersama".
Menteri Pelajaran ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak, kini Perdana Menteri Malaysia, melancarkan kempen itu pada tahun yang sama iaitu pada 31 Julai.
Kempen itu dijalankan di seluruh negara pada setiap bulan Ogos sehingga tahun 2000.
Pada tahun 2001, semasa majlis yang dirasmikan Datin Seri (Tun) Dr Siti Hasmah Mohd Ali, kerajaan mengumumkan bulan Julai sebagai Bulan Membaca Kebangsaan, menggantikan bulan Ogos.
Mulai tahun 2001 sehingga kini, kempen ini dijalankan setiap bulan Julai dan dijadikan agenda tahunan kerajaan ke arah membentuk masyarakat yang mempunyai ilmu dan maklumat dengan menjadikan membaca sebagai satu budaya.
Bekas pendidik Fatimah Mansur berkata langkah kerajaan menjadikan Kempen Bulan Membaca ialah satu usaha yang amat bijak.
"Lihatlah di sekeliling kita, di mana saja kelihatan orang membaca sama ada surat khabar atau majalah serta buku ataupun membaca blog dan bahan lain dalam Internet," kata beliau.
Satu pandangan yang sememangnya tepat sekali.
Dalam kunjungan penulis ke sebuah kedai buku mega di Bandar Utama, Petaling Jaya, beliau mendapati begitu ramai orang dewasa serta kanak-kanak dan ibu bapa sedang membaca buku dan majalah yang terdapat di situ.
Tak kurang juga yang sedang beratur untuk membayar bahan bacaan yang dibeli.
Di seluruh negara, pelbagai pertubuhan termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), perpustakaan awam dan swasta serta juga sekolah, kolej dan universiti mengadakan kempen membaca masing-masing sempena sambutan Bulan Membaca Kebangsaan.
"Di mata umum, Kempen Membaca ini berjaya," kata Fatimah.
Menurut pandangan beberapa orang ahli akademik di sebuah universiti di sini, kempen itu memang boleh dianggap berjaya.
"Ia berjaya menarik penyertaan orang ramai dalam pelbagai program di samping menyemai kesedaran membaca sepanjang hayat.
"Kempen ini juga menggalakkan aktiviti membaca sebagai satu budaya," kata seorang pensyarah.
Fatimah menambah, kempen itu meningkatkan kesedaran terhadap pentingnya membaca sebagai kunci pengetahuan dan ilmu tanpa sempadan.
"Kempen ini boleh menyemarakkan minat dan tabiat membaca sebagai gaya hidup rakyat Malaysia kini dan di masa hadapan. Ia juga menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti yang bersangkut-paut dengan membaca dan aktiviti akademik," menurut pengurus dalam industri hiburan Abdul Rahim Abdul Hamid dari Bandar Tasik Puteri, Rawang.
Bagi mahasiswa universiti, Muhamad Zul Azraii, kempen itu telah merapatkan jurang antara masyarakat dan bahan bacaan selain daripada memupuk tabiat suka membaca dalam kalangan orang ramai.
Penjawat awam dan ibu kepada tiga orang anak, Zaida Zainal berkata: "Kempen Membaca telah membina satu masyarakat yang berilmu, yang berupaya untuk berfikir dan bertindak secara kreatif, kritikal dan konstruktif melalui pembacaan.
"Tiada apa yang merugikan dengan membaca, malah aktiviti ini memang menguntungkan sekali," katanya. - (Oleh ZULKIPLE IBRAHIM) BERNAMA

Kelas Motivasi Pelajar Minggu Ke-3

































































Salam sejahtera. Minggu ini, kelas motivasi diri sudah masuk minggu ketiga. Ternyata penyertaan semakin bertambah berbanding dua minggu sebelumnya. Cikgu Hafiz mengajar dengan pendekatan yang mudah mengenai jadual seharian, apa yang dilakukan jika berada di rumah. Jika minggu lalu, Cikgu Hafiz mengajar menggunakan sistem audio-video tetapi nampaknya terpaksa dilupakan kerana projektor tersebut terpaksa dikembalikan kepada pemiliknya.
Namun Cikgu Hafiz tak putus asa, beliau menggunakan pengalamannya sebagai guru mengajar menggunakan kemudahan manual. Alhamdulillah, semuanya OK dan berakhir dengan tempuh waktu yang ditetapkan.
Disiarkan foto suasana program ini. Dan terima kasih kepada ibubapa yang datang memberi sokongan moral kepada anak-anak serta semua AJK PPTSI terutama AJK Biro Wanita Dan Pembangunan Keluarga yang sentiasa menyedia menu malam nasi lemak bungkus dan burger Che Mat seperti minggu-minggu lalu. Budi baik tidak dilupakan.
Insya-Allah, minggu ini merupakan kelas terakhir, dalam siri motivasi diri dan teknik pembelajaran yang betul sekaligus melengkapkan jadual program selama empat minggu berturut-turut bermula pada 17 Julai lalu.

Sabtu, 1 Ogos 2009

Yogyakarta Penuh Sejarah & Tradisi





































Yogyakarta, sebuah daerah di Pulau Jawa, Indonesia, yang mendapat gelaran 'daerah istimewa' kerana masih mengekalkan pemerintahan beraja atau kesultanan, sesungguhnya mempunyai keistimewaan yang lebih daripada itu.Selain sebagai satu-satunya daerah di Indonesia, yang masih mempunyai raja bertakhta dari zaman kerajaan Mataram abad kelapan, Yogyakarta cukup kaya dengan tarikan sejarah, alam semula jadi dan kegiatan seni budaya tradisi penduduknya.Daerah Istimewa Yogyakarta, begitu jolokan yang diberikan oleh kerajaan pusat Indonesia, ialah sebuah pusat pelancongan dan budaya yang cukup unik dan menarik untuk dikunjungi pelancong dari dalam dan luar republik itu.Di daerah inilah terletak sebuah candi agama Buddha yang terbesar di dunia iaitu Borobudur dan sebuah kuil Hindu yang antara terbesar di Asia Tenggara iaitu Prambanan, kedua-duanya telah diisytiharkan sebagai tapak warisan dunia oleh Unesco.Selain itu, Yogyakarta turut mempunyai sebuah gunung berapi yang masih aktif sejak tahun 1548 iaitu Gunung Merapi, yang kali terakhir meletus pada tahun 2006, yang menjadi tarikan pelancong yang ingin menyaksikan kesan letusan lama atau kepulan asap yang keluar setiap hari dari puncak gunung itu.
Yogyakarta, yang mempunyai hampir empat juta penduduk, adalah antara satu daripada lima daerah di Indonesia yang diberi taraf istimewa untuk mentadbir daerahnya sendiri jauh daripada terikat dengan kuasa atau sistem pemerintahan kerajaan pusat.Empat daerah lain yang turut mendapat status istimewa ini ialah Acheh, Papua dan Papua Barat, yang masing-masing mempunyai sejarah konflik dan pernah menuntut kemerdekaan daripada kerajaan pusat Indonesia, serta Jakarta sendiri kerana keistimewaan kawasannya yang luas.Raja Kesultanan Yogyakarta sekarang iaitu Sri Sultan Hamengkubuwono X, 63 tahun, selain sebagai raja, turut memegang jawatan gabenor yang mentadbir daerah Yogyakarta.Menurut sejarahnya, sewaktu Indonesia dalam proses hendak mendapat kemerdekaan, kesultanan Yogyakarta di bawah pemerintahan ayahanda raja sekarang, Sri Sultan Hamengkubuwono IX telah membuat keputusan untuk bernaung di bawah republik itu.Langkah raja Yogyakarta itu dialu-alukan oleh presiden pertama Indonesia pada masa itu iaitu Jenderal Sukarno.Dan bagi membalas penghormatan itu, lalu digubal satu undang-undang pada 1950 bagi mengiktiraf kesultanan Yogyakarta dan daerahnya diberi gelaran 'istimewa' dengan hal-ehwal dalamannya diletak di bawah kuasa raja yang dilantik sebagai gabenor.
Keistimewaan Yogyakarta juga terserlah apabila Sukarno pernah menjadikannya ibu negara sementara Indonesia sewaktu penjajah Belanda menduduki Jakarta dari 1946 hingga 1950 selepas tamat Perang Dunia Kedua apabila Belanda cuba menjajah semula Indonesia sebaik republik itu memperoleh kemerdekaan pada 1945.Yogyakarta, satu daripada 33 daerah yang terdapat di kepulauan Indonesia, kini semakin maju seperti daerah lain, umpamanya Jawa Barat (Bandung), Jawa Timur (Surabaya), Sumatera Utara (Medan), Kalimantan Barat (Pontianak) malah Jakarta.Arinto Prakoso, anak tempatan Yogyakarta berkata daerah itu dapat menikmati kemajuan seperti hari ini kerana kebijaksanaan pimpinan kedua-dua raja kesultanan itu iaitu Sri Sultan Hamengkubuwono IX dan anakanda serta pemerintahnya sekarang Sri Sultan Hamengkubuwono X.Bagi membangunkan daerah itu, kesultanan itu memberi tumpuan kepada tiga bidang yang ia mempunyai keistimewaan atau kelebihan serta keupayaan memajukannya iaitu pelancongan, pendidikan dan perusahaan kecil, menurut Arinto yang bekerja sebagai jurupandu pelancong.Dari sudut pelancongan, keistimewaannya memiliki candi Borobudur, yang dibina penganut Buddha di zaman dinasti Sailendra mulai tahun 750 hingga 850 dan kuil Prambanan oleh penganut Hindu di zaman kerajaan Mataram pada tahun 856, dimanfaatkan Yogyakarta sebagai penjana penting sumber pendapatannya.Kedua-dua candi dan kuil ini, yang ditemui kira-kira dua abad lalu, telah dipromosi ke seluruh dunia hingga dapat menarik ribuan pelancong tempatan dan luar Indonesia untuk khususnya datang ke Yogyakarta, yang sudah lebih sinonim dengan Borobudur.
Turut menjadi tarikan utama bagi mereka yang berkunjung ke Yogyakarta ialah 'Kraton Sultan' atau istana raja yang sebahagiannya telah dijadikan muzium yang mempamerkan segala peralatan adat istiadat diraja dan sejarah turun temurun kesultanannya yang dibina oleh Sultan Hamengkubuwono I pada 1756.Apa yang menarik ialah adat resam dan tradisi kehidupan penduduk istana itu masih dikekalkan hingga sekarang di mana boleh dilihat lelakinya mamakai kain Jawa, dengan keris panjang disisip di pinggang belakang serta memakai topi 'blangkon' dan wanitanya berpakaian seolah berkemban.Selain itu, terdapat sebuah lagi istana berhampiran yang dipanggil Pura Pakualaman dan taman istirehat untuk keluarga diraja, digelar Istana Air Taman Sari yang dilengkapi dengan kolam mandi ala seni binaan Rom.Bagi pendidikan pula, Arinto berkata bidang itu digunakan oleh kesultanan untuk melonjakkan Yogyakarta sebagai pusat ilmu utama Indonesia, yang kini terdapat lebih daripada 100 pusat pengajian tinggi kerajaan dan swasta, dengan menarik pelajar tempatan dan asing bertumpu ke daerah ini untuk melanjutkan pelajaran.Di daerah inilah terdapatnya beberapa pusat pengajian tinggi yang ulung dan terkenal seperti Universitas Gajah Mada yang dibuka sejak 1949, Universitas Islam Indonesia (1948), Universitas Ahmad Dahlan (1960) (dulu dikenali sebagai IKIP Muhammadiyah Yogyakarta) dan Institut Seni Indonesia (1984).
Peranan Sri Sultan Hamengkubuwono IX dalam bidang pendidikan ini cukup besar, apabila beliau sendiri pernah membenarkan beberapa bangunan dan kemudahan di kratonnya untuk kegunaan Universitas Gajah Mada pada awal penubuhannya.Secara langsung, kehadiran pelajar yang dianggarkan 300,000 orang setiap tahun bukan sahaja menyemarakkan bidang pendidikan di Indonesia malah menggiatkan aktiviti ekonomi Yogyakarta seperti pengangkutan, makanan dan restoran, pelancongan dan penginapan, menurut Arinto.Malah kata Arinto, Yogyakarta yang satu ketika dulu diberi jolokan 'kota sepeda' (basikal) kini dipanggil 'kota sepeda motor' kerana sesak dengan ramainya pelajar menunggang motosikal untuk berulang-alik ke pusat pengajian mereka.Satu lagi tumpuan pentadbiran kesultanan Yogyakarta bagi meningkatkan ekonominya ialah memajukan perusahaan kecil yang melibatkan ramai penduduk setempat seperti perusahaan batik, ketukangan perak, barangan kulit, pembuatan pasu dan keris.Batik Jawa Yogyakarta berbeza dengan batik dari daerah lain dan mudah dikenali kerana warnanya terhad kepada warna tanah atau cokelat dan garisan corak motifnya yang banyak mengandungi bunga teratai akan diletak melintang.Walaupun batik Jawa kini sudah dipengaruhi dengan corak moden dan mempunyai pelbagai warna, keutuhan keaslian batik Jawa yang mempunyai warna dan corak asalnya masih dipelihara oleh penduduk di dalam Kraton yang menjadikan batik Jawa ini sebagai pakaian eksklusif seharian mereka termasuk rajanya.
Atas usaha gigih Kesultanan Yogyakarta menyemarakkan aktiviti perusahaan kecil, kini terdapat banyak kedai batik Jawa, ketukangan perak, kraf kulit, jualan pasu dan keris di hampir seluruh kota diraja ini yang sentiasa dipenuhi dengan pengunjung tempatan dan asing.Yogyakarta yang turut digelar sebagai pusat budaya juga masyhur dengan persembahan keseniannya seperti balet epik Ramayana dan wayang kulit yang diadakan pada setiap malam di kota ini, yang sudah pasti akan dimasukkan dalam aturcara lawatan sesiapa sahaja yang berjunjung ke sini.Menurut Kepala Lembaga Pelancongan Indonesia bagi Daerah Istimewa Yogyakarta, Bapak Tazbir, kota diraja ini ialah antara daerah di Indonesia yang popular dalam kalangan pelancong Malaysia kerana keistimewaannya seperti itu.Tazbir berkata selain melancong ke tempat bersejarah, orang Malaysia suka membeli-belah pelbagai barangan buatan tempatan yang menarik dan murah seperti yang terdapat di kawasan perniagaan popular Malioboro di tengah kotaraya ini.Pengurus Besar Hotel Saphir Yogyakarta Desmond Rozario, seorang anak Negeri Sembilan, berkata pelawat Malaysia dan Singapura sekarang semakin ramai berkunjung ke Yogyakarta sejak adanya penerbangan tambang murah AirAsia dari Kuala Lumpur dan Singapura.-- BERNAMA (Zakaria Abd Wahab)