Ahad, 23 Januari 2011

Isu Audit Kewangan Hangatkan Mesyuarat Agung JMB Ke-3

KEGAGALAN wakil Zikay Asset iaitu syarikat pemaju perumahan menghadiri Mesyuarat Agung JMB Pangsapuri Subang Impian 2010 Ahad lalu, mencetuskan rasa tidak puas hati penduduk.

Rata-rata penduduk marah dan menyatakan perasaan kecewa di atas sikap lepas tangan syarikat pemaju perumahan menghadiri mesyuarat ini.

Malah mereka menyifatkan syarikat perumahan tersebut sebagai pengecut dan tidak bertanggung jawab dengan permasalahan yang dihadapi penduduk.

Mesyuarat Agung JMB kali ketiga yang diadakan di Dewan Komuniti Pangsapuri Subang Impian pada 23 Januari lalu berlangsung dengan suasana hambar tetapi panas dengan isu yang berbangkit.

Kehadiran Puan Intan dari Pesuruhjaya Bangunan (COB) Majlis Bandaraya Shah Alam, meredakan sedikit suasana tegang dengan menjawab pertanyaan penduduk sambil berjanji membantu menyelesaikan masalah berbangkit penduduk.

Puan Intan juga memberi jaminan kepada penduduk berikutan isu audit kewangan JMB Pangsapuri Subang Impian 2009-2010 dapat dibentangkan didalam mesyuarat yang akan diadakan di dalam terdekat ini.

Beliau lalu meminta pengurusan JMV Pangsapuri tidak lengah bagi mengeluarkan notis mengadakan mesyuarat sekali lagi.

Dalam pada itu Puan Intan juga berkata COB tiada kuasa untuk mengenakan sebarang tindakan atau membatalkan lesen syarikat pemaju perumahan ini disebabkan kegagalan menghadiri mesyuarat.

“Itu diluar bidang kuasa COB. Hanya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sahaja yang dapat berbuat demikian. Menteri boleh membatalkan lesen mana-mana syarikat pemaju perumahan yang bermasalah dan menyenaraihitamkan syaraikat tersebut,” kata beliau.

Lebih 87 penduduk hadir berada di dalam mesyuarat agung ini yang dipengerusikan oleh Pengerusi JBM, Ismail Deraman. Turut berada di pentas mesyuarat ialah Hamdan Dahlan (setiausaha) dan Mohd Asri Ubaidulllah (bendahari) serta lima ahli jawatankuasa daripada semua blok.

Lima ahli jawatankuasa yang hadir, Mustaffa Kalan (Blok A), Kaseh Osman (Blok B), Ezzedin Usir (Blok C), Johari Haron (Blok D) dan Abdul Salam Umbang dari Blok E.




Tiada ulasan: