Selasa, 16 Februari 2010

Info & Program

Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran Peringkat WP Kuala Lumpur


Jabatan Bomba dan Penyelamat, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan menganjurkan Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.


Program ini akan diadakan pada 09 Mac 2010 bertempat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) jam 8.45 pagi.


Ahli Persatuan dijemput menghadiri dan seterusnya menyaksikan pelancaran kempen ini sekaligus menjadikan satu pertemuan dialog dua hala mengenai kempen latihan kebakaran dan penyelamatan penduduk taman.

Ahad, 14 Februari 2010

Selamat Tahun baru Cina 2010


"Kepada pengunjung blog, kru mengambil kesempatan mengucapkan Gong Xi Fa Cai kepada semua pembaca dan rakan berketurunan Cina di seluruh negara.
Di harap Tahun Harimau ini akan membawa keamanan dan keadilan kepada semua warga di negara tercinta ini…”

Ahad, 7 Februari 2010

Yuran Ahli Persatuan


Tak mahal cuma RM3.00 sahaja yuran bulanan perlu disumbangkan oleh ahli bagi mengisi tabung Persatuan Penduduk Pangsapuri Taman Subang Impian (PPTSI).
Baru-baru ini, bermulalah kutipan wang tabung persatuan di semua blok dari Blok A hingga Blok E. Setiap ketua blok berperanan membantu menjayakan kutipan dari pintu ke pintu.
Bagi Blok D, Sdr Khamis selaku Ketua Blok yang ditemani Setiausaha Persatuan, Sdr Rizal Isnin dan Sdr Mohd Firdaus selaku Bendahari Persatuan memulakan kutipan dari pintu No 102 hinggalah No 516.
Menurut Sdr Khamis, diutamakan bayaran yuran ahli yang tertunggak pada tahun lalu. Namun ada juga ahli yang melangsaikan bayaran tertunggak, malah ada kalangan ahli yang membayar yuran penuh 2010.
"Kami ucapkan terima kasih kepada semua ahli persatuan yang melangsaikan bayaran yuran tertunggak. Sokongan berterusan dapat menjayakan berbagai program dan aktiviti persatuan pada masa akan datang berbekalkan yuran ahli yang terkumpul di dalam tabung persatuan," kata Sdr Mohd Firdaus.
Pada masa yang sama, beliau meminta ahli persatuan yang masih belum menjelaskan bayaran yuran boleh menghubunginya, bila-bila masa dengan Sdr Bendahari Persatuan menerusi talian bimbit 017-2794002 atau Sdr Setiausaha 0192710343.

Jumaat, 5 Februari 2010

Pujuk Anak Buat Kerja Sekolah

MEMANG memenatkan. Mana tidaknya hampir setiap hari harus mengingatkan anak-anak supaya membuat kerja sekolah. Yang naik risau kita, bukannya anak-anak. Mereka selagi tidak mendengar leteran atau desakan, tidak akan angkat punggung untuk membuat kerja sekolah.

Lagi memeritkan, kitalah yang harus duduk bersama-sama semasa membuat kerja sekolah sehingga kerja-kerja rumah lain tergendalam. Lagi teruk apabila ibu atau bapa yang menyelesaikannya kerana anak-anak langsung tidak faham atau mengantuk.

Ini adalah antara rungutan-rungutan yang selalu diluahkan oleh ibu bapa yang mempunyai anak-anak bersekolah.

Kadangkala leteran itu telah menjadi 'lagu merdu' bagi anak-anak dan bukan lagi arahan yang perlu diikuti dan ditakuti.

Ini sebenarnya adalah lumrah hidup kanak-kanak. Mereka sememangnya tidak suka membuat kerja sekolah. Sehubungan itu, tanamkan minat mereka untuk menyukai kerja sekolah.

Selain itu, ibu bapa harus ingat bahawa anda tidak boleh memaksa mereka melakukannya atau belajar.

Begitu juga, menyelesaikan kerja sekolah adalah masalah anak-anak. Justeru, mereka harus menggerakkan pensel mereka. Otak mereka harus berfikir. Punggung mereka harus diletakkan di kerusi.

Ramai ibu bapa beranggapan bahawa kerja sekolah adalah masalah mereka. Jadi mereka mewujudkan suasana yang tidak menyenangkan seperti menjerit, marah, mengugut atau menarik balik keistimewaan yang diberi. Bagaimanapun kebanyakan taktik ini tidak memberi kesan.

Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memberi peluang kepada anak-anak membuat kerja sekolah. Tugas kita ialah menyediakan struktur dan mewujudkan sistem. Tugas anak ialah menggunakan sistem itu.

Sehubungan itu, terdapat beberapa panduan yang boleh dilakukan bagi memujuk anak membuat kerja rumah.

Antara alasan mengapa anak-anak tidak berminat membuat kerja sekolah ialah tidak cukup peralatan. Kadangkala tidak mempunyai rujukan yang sesuai dan tidak tahu bagaimana untuk memulakannya.

Justeru, wujudkan satu tempat atau stesen kerja sekolah atau tempat belajar di rumah. Stesen itu mestilah:

* Jauh daripada ruang televisyen atau tempat permainan video.
* Lengkapkan dengan meja, kerusi atau komputer bergantung pada umur anak.
* Pastikan alat tulis lengkap.

Dengan jadual ia boleh membentuk tabiat untuk melaksanakan kerja rumah di kalangan anak-anak. Ini sekali gus mengurangkan tekanan ibu bapa.

Sebagai ibu bapa, buat jadual dan tetapkan waktu yang sesuai setiap hari. Pastikan bilakah masanya anak mesti melakukan kerja sekolah. Beri kelonggaran kepada mereka untuk menentukan waktu yang sesuai untuk mengulangkaji pelajaran.

Kadangkala bagi mengelakkan melakukan kerja sekolah, anak akan menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai tugasan pun.

Justeru itu, masa yang telah ditetapkan melakukan kerja rumah haruslah diganti dengan waktu untuk belajar.

Ingatkan mereka 10 minit sebelum waktu ditetapkan supaya mereka peka. Insya-Allah, selepas beberapa minggu atau bulan, anak anda akan melakukannya sendiri tanpa disuruh.

Sediakan perancangan harian atau kalendar. Galakkan anak untuk membuat nota tarikh hantaran terakhir atau ujian akan datang dalam kalendar. Bantu mereka membuat jadual dan jelaskan bahawa waktu yang terurus tidak akan membebankan mereka.

Selalu ingatkan mereka. Apabila anak telah biasa menggunakan kalendar dan jadual waktu, mereka akan tahu manfaat dan melakukan kerja sekolah itu sendiri.

Banyak kanak-kanak merasakan melakukan kerja sekolah adalah satu bebanan dan ia dilakukan secara terpaksa kerana arahan ibu bapa.

Akibatnya mereka jadi terganggu apabila tibanya waktu belajar. Untuk atasi masalah ini cuba minimumkan gangguan semasa anak-anak belajar seperti menutup televisyen dan radio.

Ibu bapa perlu gunakan waktu ini melakukan kerja-kerja rumah, uruskan pembayaran bil dan sebagainya.

Dengan ini, anda bukan sahaja meredakan gangguan, tetapi menunjukkan kepada anak bahawa anda juga melakukan 'kerja' di luar waktu kerja anda.